Allahyarham Ilyas Din
Allahyarham Ilyas Din

KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ilyas Din meninggal dunia di kediamannya di Kampung Datuk Keramat, di sini, malam tadi.

Allahyarham Ilyas, 67, yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum itu, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.10 malam, akibat sakit jantung.

“Allahyarham menerima rawatan di HKL selama sembilan hari, pada petang semalam (Jumaat), dia dibenarkan pulang oleh pihak hospital dan saya membawanya balik ke kediamannya.

“Bagaimana pada jam 10.10 malam, dia meninggal dunia,” kata kenalan arwah, Nor Khairul Anuar Mohamad Nor.

Allahyarham Ilyas meninggalkan seorang balu, Puan Sri Meryam Harun dan tiga anak.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di sini, pagi ini.

Ilyas adalah Panglima TLDM ke-13 yang dilantik pada 28 April 2005. Beliau memulakan kariernya dalam pasukan keselamatan itu selepas ditauliahkan sebagai pegawai TLDM pada 1 Januari 1972 dengan menyandang pangkat Leftenan Muda dan bersara pada 2006.

Sepanjang kariernya, beliau yang juga digelar “Bapa Kualiti TLDM” pernah menjawat jawatan Panglima Armada, di mana di bawah pengurusannya Markas Armada TLDM merangkul beberapa anugerah kualiti.

Beliau juga adalah faktor pendorong yang membawa kepada kejayaan Markas Armada memperoleh persijilan MS ISO 9001:2000 pada 2003.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengucapkan takziah kepada keluarga mantan Panglima TLDM itu.

“Innalillahiwainna ilaihiraajiunn. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mantan Panglima Laut ke-13, Laksamana (B) Tan Sri Ilyas bin Haji Din yang telah pulang ke Rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah, ditempatkan bersama orang beriman dan beramal solih. Amin,” katanya dalam Twitter beliau hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast