Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) diiringi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull (kanan) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Abdul Samad (kiri) pada program Walk Stop Talk di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Dalam tempoh tahun 2013 hingga Mei 2018, rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan kebanyakan pesalah rasuah adalah melibatkan golongan belia.

Belia mencatatkan bilangan seramai 2,238 atau 55. 2 peratus daripada jumlah tangkapan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau memandang serius rekod berkenaan malah amat membimbangkan apabila golongan wanita turut didapati melakukan jenayah rasuah.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana golongan iin merupakan pemimpin negara pada masa akan datang.

“Tapi saya diberitahu oleh SPRM, ia sudah menurun, berbanding dulu memang ada mahasiswa kita ini merasakan ia jadi kebiasaan. Sebab itu kita nak cegah.

“Sekarang ini sudah ramai mahasiswa sedar ia tidak boleh dilakukan kerana ia juga dilarang dari segi agama dan moral,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga itu juga berkata, lebih membimbangkan apabila jenayah rasuah juga turut melibatkan golongan wanita.

“Berdasarkan statistik daripada SPRM, dari 2012 hingga Januari 2018, sebanyak 700 kertas siasatan telah dibuka melibatkan golongan wanita.

“Seramai 453 wanita telah ditangkap bagi membantu siasatan kes rasuah. Seramai 183 daripada mereka telah dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette