KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi amaran kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy agar tidak membuat tuduhan semborono dan tidak berasas ke atas penceramah bebas antarabangsa, Dr. Zakir Naik.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, tuduhan baharu P Ramasamy terhadap Dr. Zakir dibuat bertujuan supaya kerajaan menghantar penceramah itu ke India.
Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi Perkasa memberitahu, Dr. Zakir telah diberi status penduduk tetap di Malaysia dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menyatakan pendakwah itu tidak akan dihantar pulang.
“Sebagai seorang yang mempunyai sifat melawan dan tidak akur dengan penegasan Perdana Menteri, P Ramasamy menjelaskan kerajaan India membuat dakwaan serius terhadap Dr. Zakir, bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram, mengganggu keharmonian, dan terlibat dengan aktiviti yang melanggar undang-undang.
“Kalau itu tuduhannya, di mana dan apa buktinya? Janganlah membuat tuduhan yang semborono dan tidak berasas. Kelak buruk padahnya,” tegas Dr Amini Amir.
Beliau berkata demikian merujuk laporan Malaysiakini semalam bertajuk, “Ramasamy: Malaysia perlu hormati perjanjian ekstradisi dengan India”.
Timbalan Ketua Menteri II itu mengingatkan kerajaan Malaysia agar menghormati perjanjian ekstradisi dengan India sebagai mengulas isu berkaitan pendakwah terkenal berasal dari India, Dr. Zakir Naik.
Kata P Ramasamy, jika India membuat permohonan rasmi untuk ekstradisi Dr. Zakir, ia perlu dihormati.
Menurut Dr. Amini Amir, jika Dr. Zakir tidak terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah, beliau tidak perlu dihantar pulang ke India atas alasan wujudnya perjanjian ekstradisi.
“Ramasamy perlu membaca semula perjanjian ekstradisi tersebut. Lagipun, Tun Dr. Mahathir telah menjelaskan selagi Dr. Zakir tidak menimbulkan sebarang masalah, Malaysia tidak akan menghantar beliau pulang kerana dia ada status penduduk tetap di Malaysia,” katanya.
Serentak itu, beliau menggesa Ramasamy melihat semula keputusan mahkamah di India yang telah menyucikan Dr. Zakir daripada sebarang kesalahan jenayah sebelum ini (2018), dan tidak bersikap kurang ajar terhadap Tun Dr. Mahathir seolah-olah Perdana Menteri tidak tahu apa yang beliau nyatakan, iaitu tiada sebarang masalah dengan Dr. Zakir.
“Kita hairan dengan tindakan Ramasamy. Apakah beliau bersekongkol dengan pihak HINDRAF yang sentiasa memusuhi Dr. Zakir,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















