Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas memuji tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkan penceramah terkenal antarabangsa, Dr. Zakir Naik untuk terus berada di Malaysia sebagai warga pemastautin tetap.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah untuk tidak menghantar Zakir kembali ke India adalah tepat dan selaras dengan dasar Islam untuk melindungi umatnya daripada menjadi mangsa penganiayaan dan kezaliman.

“Selaras dengan kedudukannya sebagai pemastautin tetap, memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela dan mempertahankan maruah beliau.

“Pas tegas dengan prinsip menyokong dan mendokong segala tindakan makruf yang diambil oleh pihak kerajaan menentang kemungkaran dan perpecahan.

“Ini adalah selaras dengan dasar budaya politik matang dan sejahtera dan konsep At-taawun yang diamalkan oleh parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir pada Jumaat yang menegaskan pendakwah bebas itu tidak akan dihantar pulang ke India selagi beliau mematuhi undang-undang di negara ini.

Zakir meninggalkan India pada 2016 selepas didakwa terbabit dengan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram.

Kerajaan India turut membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan untuk hadir ke Badan Penyiasatan Kebangsaan India bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast