Dr Asraf Wajdi bersama Busiau Ampirak (kanan) dan Bobby Balang (kiri) dalam lawatannya berjumpa barisan kepimpinan Pemuda UMNO Sabah.
Dr Asraf Wajdi bersama Busiau Ampirak (kanan) dan Bobby Balang (kiri) dalam lawatannya berjumpa barisan kepimpinan Pemuda UMNO Sabah.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu ahli parti itu di Semenanjung mencontohi keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum di Sabah.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam lawatan perjumpaannya dengan barisan kepimpinan Pemuda di peringkat bahagian dan akar umbi di negeri itu, beberapa perkara baharu dapat diselaminya.

Kata beliau, antara yang menarik perhatiannya dalam perjumpaan itu, ada dua Pemuda UMNO bukan beragama Islam.

Antara menariknya di Sabah ini, Pemuda UMNO di dua bahagian diketuai bukan Islam. Mereka ialah Busiau Ampirak Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pensiangan dan Bobby Balang, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenom.

“Lebih menarik lagi Busiau adalah Ketua Gereja di kawasan Pensingan. Busiau maklumkan adiknya sendiri telah berkahwin dan memeluk Islam.

“Beginilah harmoninya masyarakat berbilang agama dan kaum di Sabah. Bahkan, model UMNO di Sabah ini begitu unik dan perlu dijadikan contoh bagaimana Islam tetap dihormati sebagai asas perjuangan sebagaimana menjadi paksi Perlembagaan, namun tidak sesekali menafikan hak agama lain untuk diamalkan dengan penuh harmonis,” katanya.

Menurut Dr. Asyraf Wajdi, beliau bersama kepimpinan Pemuda UMNO Pusat akan turun padang melawat Bahagian Pensiangan untuk program bersama masyarakat di situ. – MalaysiaGazette