Kenaikan harga barangan dijangka dirasai dengan ketara pada bulan depan susulan pelaksanaan kenaikan tarif elektrik bagi sektor komersial dan penyusutan mata wang ringgit.
Harga barangan pengguna didakwa tidak turun dengan penghapusan GST. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga barangan dijangka dirasai dengan ketara pada bulan depan susulan pelaksanaan kenaikan tarif elektrik bagi sektor komersial dan penyusutan mata wang ringgit.

Sehubungan itu, kerajaan diharapkan tidak menetapkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang tinggi bagi pelaksanaannya pada bulan September ini.

Naib Presiden Organisasi Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Mydin berkata, kadar SST yang tinggi pastinya akan memberi beban lebih tinggi kepada pengguna.

“Mata wang ringgit telah naik dari sekitar 3.95 kepada 4.05 sebelum Pilihan Raya Umum hingga sekarang iaitu kira-kira 2.0 peratus. Manakala kenaikan tarif elektrik pula adalah sebanyak 1.5 peratus untuk pasar-pasar raya besar.

“Jika dikira kedua-duanya, kenaikan itu adalah 3.5 peratus. Kalau ditambah SST (sekurang-kurangnya 3 peratus) sudah jadi berapa.

“Kalau SST kadarnya rendah, harga barangan mungkin tidak melambung tetapi jika lebih daripada itu, sudah tentu harga lebih tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Mengulas lanjut, Ameer berkata, harga barangan menunjukkan penurunan sejak sifar GST dikuatkuasakan sejak 1 Jun lalu.

Malah, trend beli-belah bertambah baik, sekaligus memberi sentimen baik kepada sektor peruncitan.

Di pasar raya Mydin, katanya, harga barang-barang makanan susut 3 peratus dan barang-barangan keperluan rumah seperti sabun dan lain-lain jatuh 5 peratus.

Bagaimanapun, menurut beliau, harga barang-barang makanan segar seperti ikan dan sayur-sayuran melonjak disebabkan faktor perayaan yang menyebabkan permintaan tinggi dan bekalan pula terhad.

“Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengatakan ada 70 barangan jatuh harga, di Mydin pula ada 150 barangan asas,” katanya lagi.

Ameer tidak menolak jika ada rungutan tentang kenaikan harga barangan, ia merupakan persepsi pengguna semata-mata. – MalaysiaGazette