Jacob George

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membaiki sistem agihan barang-barang dalam menangani monopoli oleh kartel-kartel.

Monopoli itu menyebabkan kenaikan harga pasaran barangan keperluan di negara ini sukar dibendung.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George berkata, pelaksanaan sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak lebih sebulan lalu nampaknya tidak memberi kesan ketara kepada penurunan harga barangan pengguna.

Sebaliknya, apa yang dirasai oleh pengguna ialah kenaikan harga barangan terutama semasa musim perayaan Aidilfitri.

“Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan harga barangan sudah susut tetapi pengguna tidak merasai penurunan itu.

“Kenaikan ketara sekarang adalah pelbagai ikan dan sayur-sayuran kerana dikatakan musim hujan dan masalah bekalan. Itu pun kita boleh faham tetapi bagaimana dengan barang-barangan lain.

“Pada saya harga makanan di restoran sahaja lebih murah sebab tidak ada GST tetapi harga barangan keperluan harian bagaimana masih ada kenaikan.

“Bukan pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor merungut tentang kenaikan harga tetapi di sebelah utara juga mengadu masalah yang sama,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lantaran itu, kata George, sudah sampai masanya kerajaan menyemak semula sistem agihan barangan kepada sistem yang lebih menyeluruh.

Nampaknya, sistem lama sudah tidak boleh terpakai kerana ia jelas menunjukkan lebih keburukan berbanding kebaikan kepada pengguna.

“Masalah ini boleh diumpamakan tukar gelas tidak akan memberi apa-apa makna jika air tidak ditukar.

“Permasalah ini perlu ditangani dari akar dan kerajaan perlu melihat isu ini secara mendalam,” ujarnya. – MalaysiaGazette