HSR singapura malaysia keretapi berkelajuan tinggi
Khaw Boon Wan

SINGAPURA- Singapura akan meminta ganti rugi ke atas semua kos yang perlu ditanggungnya sekiranya Malaysia membatalkan projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR).

Menteri kewangannya, Khaw Boon Wan memberitahu, Parlimen hari ini, ganti rugi itu tertakluk kepada terma perjanjian dua hala projek HSR yang telah dimeterai pada 2016.

“Kami akan berurusan dengan bertanyakan mengenai ganti rugi kepada Malaysia berhubung kos yang perlu ditanggung Singapura mengikut perjanjian bilateral tersebut serta undang-undang antarabangsa,” katanya sambil menambah Singapura menjangka kos yang perlu ditanggung adalah sekitar S$300 juta (RM892.98 juta) menjelang hujung tahun ini.

Menurut Khaw, Singapura telah pun mengambil alih tanah bagi projek berkenaan, meluluskan undang-undang serta menubuhkan sebuah syarikat infrastruktur dengan sebuah pasukan yang terdiri daripada lebih 100 pakar untuk membina, memiliki, membiayai dan menyelenggara prasarana am keretapi berkelajuan tinggi di negara itu.

“Kesemua kerja-kerja ini menggunakan duit. Ini termasuk kos untuk perundingan bagi mereka bentuk prasarana am, kos untuk mengupah tenaga kerja berdedikasi bagi memantau dan menyiapkan projek serta kos pengambilan tanah,” katanya.

Berdasarkan anggaran awal, kos keseluruhan yang ditanggung kerajaan Singapura sudah melebihi S$250 juta (RM 744.15 juta) menjelang akhir Mei 2018 dengan kos tambahan sekitar S$52 juta (RM154.78 juta) yang perlu ditanggung menjelang akhir Disember ini.

“Ini adalah wang sebenar yang telah pun dibelanjakan, ini wang pembayar cukai kami,” katanya sambil menambah sejumlah wang yang besar telah dibelanjakan kepada satu “perkara yang betul-betul membazir” sekiranya projek ini tidak dapat diteruskan.

Menurut Khaw, selain kos yang perlu ditanggung Singapura, konsortium rel dari China, Jepun, Eropah dan pihak-pihak lain yang berminat seperti institusi kewangan antarabangsa turut menanggung kos penyediaan semasa membida projek berkenaan.

Singapura telah menghantar nota diplomatik kepada Malaysia pada 1 Jun lalu bagi mendapatkan penjelasan segera berhubung perkara tersebut bagaimanapun sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan Malaysia, katanya lagi.

“Sekiranya kerajaan Malaysia tidak memberi sebarang maklum balas rasmi, kami terpaksa mengambil berat terhadap kenyataan-kenyataan awam yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pembatalan projek ini dan Singapura akan bertindak,” tegasnya.- Malaysiagazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/07/09/singapura-belum-terima-jawapan-balas-malaysia-berhubung-hsr/