KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanifa Maidin dibenarkan keluar dari hospital petang ini.
Beliau yang dirawat di Hospital Putrajaya (HPj) selepas rebah pada Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri pagi semalam, berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad yang melawat beliau tengah hari tadi memberitahu, Ahli Parlimen Sepang mengalami “vaso vagal attack” dan berada dalam keadaan sihat serta stabil tanpa sebarang gejala semada berada di wad.
“(Saya) baru ziarah Hanipa Maidin dan mendapat penerangan dari Dr Anis yang merawatnya. Beliau dalam keadaan stabil dan hanya perlukan pemerhatian rutin,” katanya dalam status Twitternya hari ini.
Semalam, Hanipa rebah secara tiba-tiba semasa Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra.
Majlis itu dihadiri Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra dan kejadian berlaku sekitar jam 8.40 pagi, iaitu kira-kira 10 minit selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap menyampaikan amanat kepada warga kakitangan JPM.
Menurut Dr Dzulkefly, siasatan yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang keputusan abnormal yang akut, bahkan, tekanan darah dan paras kolesterol darah adalah terkawal serta beliau tidak mengidap penyakit diabetes. – MalaysiaGazette
















