KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan polis ke atas peguam dan aktivis Pakatan Harapan, Fadiah Nadwa Fikri kerana membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri.
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, beliau yakin kenyataan aktivis itu yang disiarkan dalam portal Malaysian Digest dengan sengaja menyebarkan perasaan kebencian terhadap Institusi Raja-Raja Melayu dan ada kecenderungan menghasut.
“Kira-kira jam jam 4.50 petang semalam, ketika saya berada dalam bilik di pejabat Perkasa Malaysia di Jalan Datuk Haji Eusoff, Kuala Lumpur, saya telah membuka beberapa portal berita melalui telefon mudah alih.
“Apabila saya membuka portal berita Malaysian Digest, saya terbaca satu berita bertajuk, “Aktivis Pakatan gesa mansuh sistem beraja, dakwa monarki sudah lapuk” dalam pautan portal berkenaan yang disiarkan pada jam 3.41 petang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Penerangan Perkasa, Datuk Ruslan Kassim.
Menurut Syed Hassan, selain tajuk itu, portal berkenaan turut menyiarkan kenyataan peguam dan aktiviti itu yang mendakwa sistem beraja berperlembagaan dianggap ketinggalan zaman di kebanyakan negara di dunia.
Katanya, berita itu juga memetik kenyataan aktivis berkenaan sebagai berkata, dikala rakyat sudah bangkit merampas kuasa daripada parti memerintah negara selama 61 tahun, sistem monarki dengan konsep perhambaan ini tidak lagi boleh diteruskan.
“Kenyataan ini adalah berunsur hasutan dan berniat jahat untuk mempengaruhi rakyat dalam usaha untuk menghapuskan kuasa dan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara bagi persekutuan (Perkasa 32) dan ketua agama Islam (Perkara 3.3) yang dijamin dalam perlembagaan negara dan undang-undang tubuh negeri-negeri,” katanya.
Ujar beliau, kenyataan itu secara jelas telah melanggar Akta Hasutan 1948; Seksyen 121 Kanun Keseksaan – melancarkan atau cuba melancarkan perang atau bersubahat dalam melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri; dan Seksyen 121B Kanun Keseksaan – kesalahan-kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri.
Sehubungan itu, katanya, Perkasa meminta polis mengambil tindakan segera ke atas peguam dan aktivis berkenaan. – MalaysiaGazette
















