Mustafar Ali
Warga asing yang ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen di beberapa premis di Serdang, semalam. Foto Ihsan - JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 68 warga asing dalam satu serbuan di beberapa premis yang disyaki digunakan sebagai tempat transit bagi warga negara asing di Serdang, semalam.

Turut ditahan dalam serbuan itu dua wanita Malaysia yang merupakan pengurus dan pembantu pengurus syarikat terbabit yang menawarkan perkhidmatan proses Program Penggajian dan Penempatan Semula ‘Rehiring‘ untuk warga asing.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam serbuan itu pihaknya menemui sebanyak 98 keping pasport Bangladesh dan Indonesia serta wang tunai berjumlah RM250,000.

Menurutnya, semua yang dirampas disyaki merupakan hasil kutipan untuk pemeriksaan kesihatan, levi, bayaran pas sosial, permohonan pas lawatan kerja sementara (PLKS) termasuk bayaran perkhidmatan kepada syarikat bagi menguruskan permohonan di bawah program Rehiring.

“Selain itu, dua lelaki Bangladesh turut ditahan. Mereka ialah pengarah syarikat dan anaknya yang bertindak sebagai ‘transporter’ bagi menguruskan warga asing ini untuk menjalani proses pemeriksaan kesihatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

WhatsApp Image 2018-07-11 at 5.22.49 PM

Mustafar memberitahu, seorang lelaki tempatan turut ditahan semasa datang ke pejabat dengan memperkenalkan diri sebagai agen yang menempatkan 68 lelaki warga asing di sebuah rumah transit sebelum menghantar mereka ke beberapa syarikat dan juga kilang yang memerlukan tenaga kerja asing.

Katanya, kesemua tahanan terbabit akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan.

Ujarnya, siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, Mustafar mengingatkan orang ramai serta majikan tidak menggunakan jalan singkat dengan menggunakan perkhidmatan seperti Rehiring, MYEG dan sebagainya kerana kebanyakan kes melibatkan kerugian besar akibat kes-kes pemalsuan dan juga penipuan.

“PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin), agen-agen haram dan juga pemilik syarikat yang tidak berdaftar akan berhadapan dengan tindakan undang-undang jika didapati bersalah,” tegasnya. – MalaysiaGazette