Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai SPAD telah merangka perundangan dan syarat-syarat yang akan dikenakan kepada perniagaan penghantaraan dan pemandu e-hailing di Pejabat Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 JULAI 2018
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai SPAD telah merangka perundangan dan syarat-syarat yang akan dikenakan kepada perniagaan penghantaraan dan pemandu e-hailing di Pejabat Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Bagi mengimbangi perkhidmatan e-hailing, kerajaan mengambil pendekatan untuk mengawal selia perkhidmatan tersebut mulai esok.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kawal selia itu akan dapat memastikan industri teksi dan e-hailing dapat bersaing secara sihat dalam landasan yang betul.

“Bagi memberikan kesaksamaan kepada industri teksi, e-hailing perkhidmatan akan dikawal selia oleh Kerajaan bermula 12 Julai 2018 melalui Akta PAD (Pindaan) 2017 dan Akta LPKP (Pindaan) 2017.

“Dengan Akta ini, e-hailing syarikat mesti berdaftar dengan SPAD sebagai Perniagaan Pengantaraan dan perlu membayar fi yang ditetapkan,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini, banyak persatuan teksi umpamanya Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PERTEKMA) pernah menggesa kerajaan agar  menghapuskan perkhidmatan e-hailing di Malaysia seperti Grab dan fokus untuk memperbaiki industri teksi di Malaysia.

Mengulas mengenai itu, ujar Anthony, kerajaan Pakatan Harapan (PH) faham gesaan itu namun rakyat harus faham bahawa industri e-hailing sudah menjadi trend dan itu tidak mudah untuk dimansuhkan.

“E-hailing trend antarabangsa yang berlaku di seluruh dunia dan  Malaysia tidak terkecuali dan hala tujunya kita tidak boleh pertikaikan,” katanya lagi.

Untuk rekod, jumlah perjalanan syarikat e-hailing semakin meningkat, daripada 6 juta sebulan pada 2016 dan meningkat kepada 18 juta sebulan pada 2018 yang dioperasikan oleh lebih 10 syarikat.

Sehingga hari ini, lebih 200,000 orang pemandu e-hailing berdaftar yang aktif menggunakan aplikasi sekurang-kurangnya 1 kali setiap bulan dan daripada itu lebih kurang 50,000 orang adalah pemandu sepenuh masa.

Dalam pada itu, Anthony berkata mulai esok, kadar komisen sebanyak 25 peratus keatas pemandu persendirian diturunkan kepada 20 peratus sahaja.

Ini bagi memberikan lebih pulangan wang kepada pemandu e-hailing.

“Kerajaan telah menetapkan dalam syarat syarat perkara-perkara antaranya kadar komisen maksima sebanyak 10 peratus untuk perkhidmatan  e-hailing yang dijalankan oleh pemandu teksi.

“Kadar komisen maksima sebanyak 20 peratus untuk perkhidmatan yang dijalankan oleh kenderaan persendirian,” katanya lagi.

Malah, kerajaan turut menghadkan kadar surcaj kepada 2 kali ganda dari harga tambang. -MalaysiaGazette