Riyad Mahrez
Riyad Mahrez berjaya menyertai Manchester City semalam.

ENGLAND – Manchester City menandatangani bintang sayap Riyad Mahrez dari Leicester City semalam.

Bintang antarabangsa Algeria itu dibeli dengan rekod kelab bernilai £60 juta (RM320 juta).

Pemain berusia 27 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun untuk menjadi rekrut pertama sejak kelab itu bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Mei lalu.

Mahrez sepatutnya memuktamadkan penghijrahan ke Stadium Etihad Januari lalu.

Bagaimanapun nilai klausa pelepasan yang ditetapkan the Fox ke atas Mahrez menyekat kemaraan itu.

Menurut Mahrez, gaya kelab itu beraksi serasi dengannya dan mahu menjadi sebahagian kegemilangan kelab itu.

“Pep Guardiola (Pengurus Man City) komited dengan gaya bola sepak secara menyerang dan persembahan musim lalu adalah luar biasa.

“Saya rasa kami boleh sukses pada tahun-tahun akan datang dan percaya aksi peribadi saya dapat dipertingkatkan dibawah bimbingan pengurusan Pep,” katanya.

Mahrez merupakan pemain terbaik Persatuan Bola Sepak Profesional semasa Leicester mencatat sejarah menjulang piala liga pada musim 2015-16.

Mahrez menjaringkan sebanyak 48 gol dalam 179 penampilan bersama Leicester.

“Magik yang dilakukan Mahrez di King Power Stadium akan kekal sebagai memori indah,” kata kelab itu kenyataan rasmi semalam.

Mahrez mengemukakan perpindahan pada Januari lalu tetapi Man City tidak dapat menyediakan yuran £95 juta (RM507 juta) yang dituntut Leicester ketika itu.

Bagaimanapun dia kekal di kelab itu dan menjaringkan sebanyak 12 gol dalam 36 aksi liga untuk membantu menamatkan saingan di tempat ke sembilan dalam carta.- MalaysiaGazette