Bekas pegawai khas itu disiasat kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan projek panel tenaga solar di Sarawak.
Posting di Facebook dan kicauan Twitter berkenaan mendakwa SPRM menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian.

KUALA LUMPUR – Seorang demi seorang pegawai khas bekas menteri kabinet zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) ditahan pihak berkuasa.

Terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan tahanan reman empat hari bermula semalam ke atas bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu siasatan berhubung kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Portal MyMetro melaporkan, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi akhbar itu, mengesahkan penahanan reman individu berusia 44 tahun itu.

“Dia ditahan Isnin lalu selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menggelapkan wang diterima dari syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk memasang panel solar di sekolah di Sarawak,” katanya.

Difahamkan, perintah reman empat hari sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas dipohon SPRM.

Memetik laporan portal berita hari ini, berdasarkan maklumat sumber SPRM, bekas pegawai khas itu didakwa meminta wang daripada syarikat berpangkalan di Bintulu.

“Kami difahamkan dia meminta wang dengan jumlah yang besar,” katanya, namun tidak mendedahkan jumlah berkenaan yang dipercayai bernilai jutaan ringgit.

Sebelum ini Sarawak Report, mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

Laporan berkenaan turut mendakwa bahawa kakitangan kementerian yang menyatakan keprihatinan berhubung proses penganugerahan kontrak terbabit ditukarkan, manakala laporan kepada polis dan SPRM langsung tidak dihiraukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast