Alwi Ibrahim
Alwi Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini, menafikan sebarang persetujuan mengenai prosedur tapisan keselamatan tambahan dalam proses permohonan visa Malaysia diberikan kepada pelancong dari semua negara termasuk warganegara China.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pada masa ini, setiap pelancong yang ingin ke Malaysia akan memohon visa melalui dua pilihan iaitu permohoanan visa secara manual melalui Pusat Sehenti Setempat (OSC) dan permohonan visa secara atas talian (eVISA).

“Tidak pernah ada sebarang persetujuan diberikan mengenai prosedur tapisan keselamatan tambahan dalam proses permohonan visa Malaysia bagi pelancong dari semua negara termasuk warganegara China,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menafikan laporan portal berita Malaysiakini bertajuk, China nationals coming to M’sia to be subject to pre-screening” pada 10 Julai lalu, mengenai pewujudan prosedur tapisan keselamatan tambahan bagi pelancong warganegara China ke Malaysia yang akan dilaksanakan oleh Chinese Citizen Security Assessment Centre to Malaysia (CCSACM).

Menurut Alwi, pelancong wargangera China boleh memohon visa Malaysia melalui pilihan yang dinyatakan itu itu, termasuk pilihan ketiga, permohonan Electronic Travel Registration and Information (eNTRI).

eNTRI katanya, adalah fasiliti khas yang diberikan kepada warganegara China sepanjang tempoh pelaksanaan pengecualian visa iaitu sehingga 31 Disember ini.

“Saringan keselamatan yang dilaksanakan oleh JIM adalah salah satu SOP sebelum kelulusan visa diberikan dan bertindak sebagai mekanisme awal bagi mengesahkan latar belakang pemohon,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast