Tan Sri Noh Omar akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor susulan gagal menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lepas.
Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor telah mengemukakan empat nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis kepada pimpinan tertinggi parti itu.

Senarai kesemua nama calon berkenaan telah pun diserahkan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dimuktamadkan, kata  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

“Semalam saya jumpa Presiden dan bincang dari hati ke hati, saya serahkan rumusan hasil perbincangan UMNO Selangor dan keputusan adalah di tangan presiden.

“UMNO Selangor juga setuju menggunakan logo UMNO pada PRK ini, namun semua bergantung kepada pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya yang dipetik dari BH Online.

UMNO Selangor katanya, akan akur kepada pilihan Ahmad Zahid bagi memastikan DUN Sungai Kandis menjadi milik UMNO.

“Kita akan beri sokongan penuh kepada calon tidak kira siapa pun yang diputuskan parti kelak, kita juga akan tampil dengan tema baru ketika berkempen iaitu undi UMNO jika mahu kerajaan PH menunaikan janji,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noh berkata beliau tidak akan meneruskan tugas-tugas selaku Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan menunggu keputusan lantikan daripada Ahmad Zahid.

“Yang pasti bukan saya, saya sudah gagal memimpin BN Selangor pada PRU lalu. Saya beri peluang kepada orang baru yang ada pendekatan lebih baik berbanding saya untuk mengisi tempat ini,” katanya.

PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun telah menetapkan tarikh 21 Julai bagi penamaan calon dan 4 Ogos depan bagi hari mengundi. -MalaysiaGazette