KUALA LUMPUR – “Memalukan”, itulah reaksi mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengulas kejadian penyokong Indonesia membaling botol ke arah pemain Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi.
Katanya, rakyat Malaysia masih bersabar dengan kejadian itu dan berharap pihak berkenaan mengambil tindakan tegas.
“Harap tiada provokasi semasa Sukan Asia nanti,” katanya menerusi laman Twitternya hari ini.
Kejayaan skuad bawah 19 tahun negara (B-19) melangkah ke final Kejohanan AFF 2018 dicemari dengan insiden keganasan penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati dengan kekalahan pasukan tuan rumah pada pertemuan separuh akhir di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.
Lebih 26,000 penyokong Indonesia membanjiri stadium untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan musuh ketat itu, namun ternyata kekalahan skuad Garuda Muda di tangan Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 pada aksi sebenar sukar diterima.
Jurulatih negara, Bojan Hodak mendakwa, pemain dan pegawai pasukan berdepan detik mencemaskan apabila mereka dibaling dengan botol minuman dan batu selepas tamat perlawanan sehingga memaksa mereka berlari masuk ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri. – MalaysiaGazette
















