Polis Sabah sedang berusaha untuk mendapatkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman bagi merekodkan kenyataannya dengan segera berhubung siasatan laporan polis Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin terhadap Musa yang dibuat pada minggu lalu.
Musa Aman

TAWAU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dinasihat agar memberi kerjasama dengan segera pulang ke Malaysia bagi membantu kes siasatan pihak berkuasa di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata rakyat di Sabah mahu melihat satu tindakan drastik diambil terhadap bekas pemimpin itu.

“Beliau (Musa) selalu cakap bahawa dia (Musa) tidak bersalah, kalau dia tidak bersalah datanglah beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disoal siasat dan kalau tidak salah jangan takut,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu lawatan kerjanya ke Balai Polis Daerah Tawau di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Azis yang juga Anggota Parlimen Sepanggar itu berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahu langkah seterusnya yang perlu diambil melibatkan kes Musa.

“We leave it to them, they know what to do (Kita serahkan kepada mereka, mereka tahu apa yang perlu dilakukan), kalau beliau (Musa) tidak balik, kita (polis) perlu ke sana,” katanya lagi.-BERNAMA