Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah tidak akan memaklumkan kepada umum langkah-langkah yang akan dilakukan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia sekarang.

Ini kerana, beliau perlu mendapatkan pandangan dan gambaran keseluruhan mengenai tanggungjawab baharunya terlebih dahulu kata Ahli Parlimen Lenggong itu.

“Kepada semua yang diberikan kepercayaan oleh presiden bagi menggalas pelbagai jawatan dan tanggungjawab kali ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan berkeyakinan dengan kemampuan semua.

“Marilah kita bersama Presiden UMNO serta pimpinan lain menggalas amanah ini demi agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anuar berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada presiden UMNO kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk menyandang jawatan tersebut.

Katanya, beliau berjanji akan membalas kepercayaan yang diberikan dengan melakukan yang terbaik terhadap parti.

Jelas beliau, ramai percaya UMNO merupakan parti yang banyak berjasa kepada negara ini dabn ramai dalam kalangan orang Melayu menyokong perjuangan parti itu.

“Saya percaya, ramai inginkan UMNO bangkit semula. Menjadi parti yang terus membela dan memperjuangkan kepentingan ahli, orang Melayu, Bumiputra dan rakyat keseluruhannya tanpa mengira sesiapa.

“Justeru, mari kita lakukan bersama. Kita mesti terus meletakkan UMNO menjadi parti utama, penting dan diharapkan oleh rakyat di negara ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette