Kesan gigitan pada kepala bayi berusia 20 hari gara-gara digigit oleh bapanya sendiri kerana tidak tahan mendengar anaknya itu kerap menangis,
Kesan gigitan pada kepala bayi berusia 20 hari gara-gara digigit oleh bapanya sendiri kerana tidak tahan mendengar anaknya itu kerap menangis,

PULAU PINANG – Hanya kerana tidak tahan disebabkan bayinya kerap menangis, seorang bapa bertindak di luar kewarasan apabila menggigit kepala anak perempuannya itu yang baru berusia 20 hari.

Malah, suspek berusia 34 tahun yang juga disyaki penagih dadah beberapa kali mengugut untuk menjual anaknya setiap kali bergaduh dengan isterinya sehingga memaksa isterinya membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pasangan suami isteri itu tinggal di Bumbung Lima, Kepala Batas di sini dan suspek juga dikatakan tidak bekerja.

Menurutnya, polis menahan suspek kira-kira pukul 7.50 malam tadi ketika menghantar anaknya ke Hospital Kepala Batas sebaik sahaja menerima laporan daripada isterinya.

“Berdasarkan laporan, suspek didakwa menggigit kepala bayinya itu pada 11 Julai lalu sehingga meninggalkan kesan seperti lebam.

“Malah, suspek juga didakwa pernah melambung anaknya dan menggantung dibuaian sehingga terjatuh ke lantai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Noorzainy, pemeriksaan doktor mendapati kesan lebam pada badan bayi berkenaan telah hilang dan bayi itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman.

Selain itu, tambahnya, ujian air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek kini direman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 ( 1 ) Akta Kanak – Kanak 2001,” katanya. – MalaysiaGazette