Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) berbual sesuatu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) di Dewan Rakyat bagi membentangkan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya pada persidangan di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Jawapan dari Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkenaan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) di Dewan Rakyat hari ini mengecewakan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, projek HSR  adalah satu tender terbuka antarabangsa yang dipanggil secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.

Tender ini hanya ditutup pada 28 Disember 2018 dan pembida yang berjaya akan dinilai dan diputuskan bersama oleh kedua-dua Singapura dan Malaysia, katanya.

“Tender itu juga mensyaratkan pembida untuk menawarkan pakej pembiayaan dan kewangan. Berikutan projek HSR adalah sangat kompetitif dan lazimnya pembida akan disokong oleh kerajaan masing-masing.

“Untuk itu, pakej pembiayaan juga sangat kompetitif di mana faedah pada kadar sifar atau 0.1 peratus bukanlah sesuatu yang luar biasa,” katanya dalam media sosialnya hari ini.

Beliau merujuk jawapan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada Datuk Wee Ka Siong di Dewan Rakyat.

Tidak lama dahulu, kata Najib, sebuah syarikat Jepun memenangi projek HSR di India dengan pakej pembiayaan 0.1 peratus faedah bagi tempoh 50 tahun dengan 15 tahun moratorium (atau penundaan pembayaran).

“Projek HSR Malaysia-Singapura yang berprofil tinggi ini menarik perhatian pembida yang agresif dari seluruh dunia.

“Sebab itu, adalah mengecewakan apabila menerima jawapan dari kerajaan PH terhadap dakwaan mereka bahawa kos HSR adalah RM110 bilion, adalah berganda daripada pada anggaran RM55 bilion dan RM70 bilion yang sudah diunjurkan oleh BN dan kerajaan Singapura.

“Apabila disoal, Azmin Ali hanya mampu menjawab kos RM110 bilion adalah kos anggaran mereka dan ia mencakupi kos tersembunyi yang tidak dihuraikan biarpun tender yang akan diputuskan oleh agensi kedua-dua negara belum ditutup, kos belum dimuktamadkan dan pakej pembiayaan masih tidak diketahui.

“Adakah anda berkata, kerajaan Singapura menyembunyikan ‘kos terselindung’ ini,” soal Najib.

Selain itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mendakwa Mohamed Azmin juga tidak mengendahkan soalannya mengapa kerajaan PH tidak mendedahkan penilaian impak ekonomi projek HSR di mana ia akan menunjukkan manfaat ekonomi serta peluang pekerjaan yang bakal hilang jika projek ini dibatalkan.

Katanya, Mohamed Azmin memilih membuat lawak daripada menjawab soalannya.

“Ini bukan satu permulaan yang baik untuk parlimen kerana projek sebesar ini memerlukan jawapan yang sempurna kerana ia memberi kesan kepada jutaan rakyat, beratus ribu pekerjaan, hubungan antarabangsa dan aliran ekonomi masa depan Malaysia.

“Dari jawapan kerajaan PH yang meragukan terhadap mengapa kos projek HSR berganda kepada RM110 bilion, ia menunjukkan kelaziman kepada mereka untuk menggandakan kos projek yang dimulakan BN seperti HSR, ECRL dan LRT3 dan mendakwa BN menyembunyikan kos sebenar.

“Mereka kemudian akan mendakwa berjaya mengurangkan kos projek itu kepada separuh dan mendabik dada walhal kos baharu mereka adalah lebih tinggi dari kos asal BN,” katanya lagi.

Bagi isu yang sama, Najib berkata, ada wakil Kementerian Kewangan hari ini mendakwa kononnya beliau mengetahui kos LRT3 adalah pada angka menjulang tinggi RM32 bilion dan untuk itu beliau memintanya menunjukkan dokumen di mana beliau telah meluluskan permohonan tambahan jaminan RM22 bilion dari surat Prasarana bertarikh 30 Mac 2018.

“Tunjukkan buktinya. Padahal, ini hanya satu permohonan yang tidak pernah kerajaan BN dulu bersetuju.

“Nampaknya kerajaan PH masih lagi kuat berpolitik dan bukannya menjamin kesinambungan ekonomi bagi masa depan negara,” dakwa Najib.- Malaysiagazette