Datuk Seri Subromaniam Tholasy. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menampung perbezaan jumlah kutipan hasil cukai antara barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan hasil cukai import dan eksport.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, jumlah dua hasil cukai tersebut akan melibatkan tambahan kutipan sebanyak RM3 bilion.

Jelas beliau, perancangan itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Hari pertama saya melaporkan diri kepada Menteri Kewangan, saya ditanya jumlah GST dan memberitahu beliau ada perbezaan dengan SST.

“Ada angka-angka perbezaan yang tidak boleh didedahkan. Jadi untuk perancangan masa depan, strategi satu tahun perlu ada untuk tampung perbezaan GST dan SST.

“Saya juga mengaku kepada beliau bahawa Kastam berdepan dengan masalah intergriti berkaitan rasuah dan perlu mengakuinya tidak boleh cover up lagi kerana tidak ada jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Breakfast Talk Integriti ‘Membanteras Ketirisan Hasil Negara’ di sini hari ini.

Dalam ucapannya Subromanian turut mendedahkan pihaknya berdepan  pematuhan GST apabila banyak syarikat terlibat dalam perbuatan ‘kurang ikrar’ (under declaration).

Jelasnya, JDKM akan melakukan audit pengesahan lebih ketat bagi membantu mengurangkan perbezaan jumlah kutipan GST dan SST.

Bagaimanapun, media berkesempatan untuk bertanya lanjut berhubung ucapan tersebut kerana Subromaniam bergegas keluar sebaik sahaja majlis selesai.

Sementara itu, program Breakfast Talk Integriti ‘Membanteras Ketirisan Hasil Negara’ merupakan anjuran JKDM, Institut Integriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Transparency International Malaysia. – MalaysiaGazette