Beberapa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menimbulkan suasana kecoh mengenai ketetapan Speaker, Datuk Mohamad Ariff MD Yusof pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2018.
Beberapa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menimbulkan suasana kecoh mengenai ketetapan Speaker, Datuk Mohamad Ariff MD Yusof pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Akibat terlampau banyak ‘perang mulut’ di Parlimen yang baru masuk hari kedua hari ini, Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasron bertindak memadam mikrofon pada sesi petang hari ini.

Mohd. Rashid yang bosan dengan sikap segelintir wakil rakyat itu nampaknya mengambil tindakan bijak bagi mengelak perang mulut daripada berterusan.

Beliau dilihat berterusan menekan mikrofon setiap kali ada ‘gangguan’ ketika perbahasan.

Insiden itu dapat dilihat pada waktu perbahasan Ahli Parlimen Tampin, Dr. Hasan Baharom (PH), Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer (PH), Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin (BN) serta Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said (BN).

Terdahulu ketika bercakap dengan pemberita, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa Yang DiPertua Dewan Rakyat serta timbalannya untuk lebih ‘tegas’ seandainya mahu perjalanan sesi Parlimen berjalan lancar.

Menurutnyaa, perang mulut serta kekecohan yang sering ditimbulkan sehingga menggangu sesi perbahasan sebenarnya boleh dibendung jika speaker mampu mengawal keadaan.

“Tindakan wakil rakyat kerajaan mahu pun pembangkang yang tidak henti-henti perang mulut, menggunakan perkataan salah serta menjerit-jerit itu boleh dibendung seandainya speaker lebih tegas.

“Jika mahu Parlimen ini bertaraf dunia, speaker sebenarnya perlu lebih tegas dan adil sebagai pembuat dasar serta tidak berat sebelah. Tadi speaker tegas dengan membuat keputusan sehingga perkataan ditarik balik,” tegasnya. – MalaysiaGazette