Tony Pua
Tony Pua

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua diminta memberi pengesahan sama ada Pas menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang gembar gemburkan sebelum ini.

Ahli Parlimen Pas Pasir Mas, Ahmad Fadhli bangkit menyoal Tony apabila beliau mendakwa dana tersebut telah disalurkan kepada beberapa parti politik di negara ini.

Menurut Ahmad Fadhli, berdasarkan ucapan Tony, beliau hanya menyebut BN tetapi tidak Pas berhubung penerimaan dana itu.

“Bersetujukah wakil rakyat Damansara jika saya katakan bahawa Pas merupakan parti tak terima dana 1MDB berdasarkan data yang ada,”celahnya ketika Tony sedang berbahas berhubung perkara itu.

Pas sebelum ini berulang kali menafikan tuduhan parti itu telah menerima dana sebanyak RM90 juta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Wang tersebut didakwa merupakan sebahagian daripada dana 1MDB.

Tony bagaimanapun tidak menjawab ya atau tidak, sebaliknya hanya memohon Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk menjawab soalan tersebut.

“Saya tiada maklumat, saya minta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk jawab persoalan ini,” katanya. 

Terdahulu, Ahli Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan yang juga merupakan Naib Presiden MIC turut menyoal tuduhan parti itu telah menerima dana sebanyak RM20 juta.

Tony dalam perbahasannya mendakwa terdapat dana 1MDB yang disalurkan kepada parti komponen BN.

“Jumlah wang 1MDB yang disalurkan kepada parti MIC sebanyak RM20.5 juta.

“Pulangkan semua wang ini kepada kerajaan Malaysia, kepada mana-mana pihak khasnya parti dalam BN supaya memulangkan dana 1MDB agar hutang negara ini dapat dikurangkan. Pulangkan balik,” katanya. – MalaysiaGazette