Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerima momento dari Pengerusi CSR Malaysia, Datuk R. Rajendran (kanan) disaksikan oleh Pengerusi Bersama CSR Malaysia, Lee Seng Hee (kiri) pada Majlis Anugerah CSR Malaysia 2018 di Hotel Sheraton Imperial, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 19 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memerlukan pemimpin yang mengambil bahagian dalam aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, golongan pemimpin ini memiliki nilai yang membentuk pandangan dan komitmen mereka terhadap aktiviti CSR.

Jelas beliau, sehingga kini lebih kurang 70 peratus daripada syarikat tersenarai terlibat dalam aktiviti CSR yang dikeluarkan oleh majalah CSR Malaysia.

“Dalam dunia Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pulangan kewangan pada hari ini, kita sering menjadikan pemimpin-pemimpin yang berpandangan cetek untuk jangka pendek.

“Kebimbangan utama mereka adalah apa yang diukur oleh orang atasan mereka. Mereka menjadi pemimpin yang kekurangan empati dan kebimbangan mereka adalah mengenai pertemuan KPI pada suku tahun depan.

“Ia adalah satu sistem yang tidak terkawal yang menghasilkan pemimpin yang tidak bertanggungjawab seperti kes Enron dan juga 1MDB. Apabila mereka tidak dapat memenuhi angka melalui usaha yang jujur, mereka mula bergantung kepada perakaunan kreatif untuk menyembunyikan kerugian dan penyalahgunaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah CSR Malaysia Awards di Sheraton Imperial Kuala Lumpur di sini hari ini.

MGF19072018_CSRMALAYSIA_06
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Anugerah CSR Malaysia 2018 di Hotel Sheraton Imperial, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 19 JULAI 2018.

CSR Malaysia adalah majalah percuma terbitan RHA Media yang memfokus kepada syarikat korporat memberi komitmen dalam program CSR dan bermatlamat meningkatkan kesedaran membantu pihak yang memerlukan tanpa batasan.

Mengulas lanjut, Wan Azizah meminta sektor korporat mempertimbangkan CSR di tempat kerja mereka dengan mewujudkan persekitaran kerja saling menghormati dan perasaan belas kasihan.

Jelas beliau, semua orang sedar bahawa apa yang berlaku di tempat kerja kadang-kadang akan tersebar hingga ke rumah.

“Oleh itu hubungan majikan dengan pekerja tidak putus sepenuhnya daripada pembangunan keluarga dan saya harap sektor akan mempertimbangkannya dalam interaksi dan sensitif jantina dalam persekitaran tempat kerja.

“Saya juga berharap sektor korporat membuat dasar yang mesra kepada mereka yang mempunyai keluarga, sama ada melalui pengaturan kerja yang fleksibel atau peruntukan untuk penjagaan kanak-kanak.

“Kepada penerima inisiatif CSR terutamanya NGO, anda semua diminta mendaftar dengan kementerian untuk memastikan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan,” katanya. – MalaysiaGazette