Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar kerajaan pakatan harapan memastikan kos sara hidup rakyat dapat dikurang selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Kita beri tempoh 100 hari sehingga 1 September ini dan selepas itu kita beri tempoh setahun, sama ada harga barang dan kos sara hidup berkurangan selepas pengenalan semula SST.

“Kalau dulu GST dapat kutip lebih RM48 bilion setahun dan kini SST. Kita tunggu sahaja 1 September nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, Barisan Nasional (BN) sebenarnya tidak pernah menyembunyikan nilai hutang syarikat milik kerajaan (GLC) kepada umum semasa mentadbir negara dahulu. 

Kata beliau, segala maklumat mengenainya boleh diakses menerusi laman sesawang kerajaan termasuk statistik daripada Bank Negara Malaysia. 

“Semua orang oleh akses statistik ini, boleh tengok,” ujarnya.

Semasa sesi perbahasan, Ahmad Zahid meminta rakyat menolak pendekatan populis kerajaan pakatan harapan yang mewujudkan Tabung Harapan untuk membayar hutang negara.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Zahid Hamidi, kerajaan tidak sepatutnya membebankan rakyat untuk menderma bagi menyelesaikan hutang negara.

“Apa ini? Kadang-kadang untuk jadi kerajaan yang populis, maka  mereka minta dana daripada rakyat. Sedangkan rakyat terbeban dengan pelbagai cukai.

“Ini sebenarnya langkah populis, rakyat perlu menolak tindakan sebegini,” ucapnya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Ahmad Maslan mencelah dengan mendesak kerajaan PH supaya membayar hutang negara dan tidak sepatutnya membebankan rakyat dengan bebanan tersebut.

Jelas Ahmad Maslan, kerajaan baru sengaja menggunakan rakyat untuk membayar hutang.

“Saya tidak faham, hanya satu sahaja negara di dunia ini iaitu Korea Selatan yang meminta derma dari rakyat untuk bayar hutang negara. Kerajaan berhutang maka mereka yang bayar. Kenapa bebankan rakyat,” katanya.

Setakat semalam, kutipan Tabung Harapan Malaysia berjumlah RM153,926,454.67 – Malaysia Gazette