Mohd Zawawi Ahmad Mughni. (lima dari kanan) bersama pemimpin PKR selepas pengumuman calon Pilihan Raya Kecil dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Shah Alam.
Mohd Zawawi Ahmad Mughni. (lima dari kanan) bersama pemimpin PKR selepas pengumuman calon Pilihan Raya Kecil dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Shah Alam.

SHAH ALAM – Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berjanji akan meneruskan kesinambungan perjuangan wakil rakyat terdahulu sekiranya beliau menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Ditemui pemberita selepas selesai penyerahan kertas pencalonan di Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19 di sini, hari ini, beliau berkata, visi utamanya ialah membela rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Saya akan teruskan mandat Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei dan parti membela rakyat di DUN ini,” katanya ringkas.

Beliau akan bertanding melawan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, Murthy Krisnasamy.
PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimie akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Nama beliau bersama Lokman dan K. Murthy diumumkan sebagai calon DUN Sungai Kandis oleh Pegawai Pengurus PRK, Datuk Ahmad Shahrin Mohd Saad kira-kira jam 10.20 pagi ini.

Mohd Zawawi menyerahkan kertas calon pada jam 9.08 pagi, diikuti Lokman 9.09 pagi) dan K. Murthy (9.35 pagi).

Beliau yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) kerana memberi tanggungjawab kepadanya bertanding, sekali gus mengekalkan kerusi DUN Sungai Kandis.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dan Menteri Besar Selangor yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri, Amirudin Shari. – MalaysiaGazette