Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Langkah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadikan sukan bola sepak sebagai medium penyatuan bangsa Johor menjadi kenyataan apabila ribuan penyokong Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) memenuhi Stadium Tan Sri Hassan Yunus di Johor Bahru malam tadi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kebanjiran penyokong JDT itu memberikan semangat kepada Skuad Harimau Selatan yang berjaya menundukkan pasukan pelawat, The Red Warriors dengan jaringan 4-0.

“Kami dari Pergerakan UMNO Negeri Johor akan sentiasa menyokong dan berada di belakang TMJ, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim terutama dalam membangunkan sukan bola sepak di negeri ini yang ternyata menunjukkan perubahan ketara sehingga kami Bangsa Johor berasa bangga.

“Kepada semua Bangsa Johor dan semua penyokong Kelab JDT tanpa mengira fahaman politik atau apa jua latar belakang, raikanlah kejayaan bersejarah ini kerana ia kemenangan untuk semua Bangsa Johor yang sentiasa bermuafakat. Johor tetap jadi Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung malam tadi, JDT menundukkan Kelantan di gelanggang sendiri dengan serangan tanpa henti.

TRW tidak berjaya mendapatkan sebarang gol sehingga wisel penamat ditiup menjadikan mereka pulang dengan hampa.

Dalam pada itu Mohd Hairi berkata, kejayaan tersebut merupakan pencapaian yang tidak pernah dikecapi dalam sejarah bola sepak tanah air oleh mana-mana pasukan.

Katanya, ia sekaligus meletakkan JDT sebagai salah satu nama besar di Asia Tenggara dan bakal melebarkan sayap ke benua Asia kelak. – MalaysiaGazette

TRW pulang hampa selepas ditewaskan JDT