Gambar hiasan

PULAU PINANG – Seramai lima remaja lelaki mendapat pengajaran berguna selepas ditahan polis kerana membuli rakan mereka dengan merakam video separuh bogel dan menyebarkannya menerusi aplikasi WhatApps.

Kesemua remaja lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun itu ditahan disekitar Bandar Baru Teluk Kumbar, Bayan Lepas, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang juga seorang remaja lelaki berusia 15 tahun sedang berniaga minyak petrol di dalam botol di tepi jalan di Bayan Lepas.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa mengenali kesemua suspek dan mereka sering mengganggunya sebelum ini namun mangsa tidak pernah dicederakan.

“Rakaman video yang mengaibkan itu dipercayai dihantar menggunakan aplikasi WhatsApps dan disedari mangsa sehari kemudian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, salah seorang daripada lima suspek sudah tidak bersekolah manakala empat lagi dipercayai rakan di sekolah yang sama dengan mangsa.

Ujar beliau, dua daripada suspek ditahan di sekolah, seorang ditahan di rumah manakala dua lagi menyerah diri.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek bebas daripada pengaruh dadah dan mereka juga sudah mengaku terbabit dalam kejadian buli itu.

“Ketika ini, polis telah merampas tiga buah telefon bimbit yang digunakan suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – MalaysiaGazette