Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (dua kanan) bersalaman dengan peserta yang hadir pada Majlis Seminar Saintifik Ekstrimis Takfiri dan Kewujudan Perpecahan Dalam Dunia Islam di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 JULAI 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (dua kanan) bersalaman dengan peserta yang hadir pada Majlis Seminar Saintifik Ekstrimis Takfiri dan Kewujudan Perpecahan Dalam Dunia Islam di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR- Kerajaan komited untuk memerangi kelompok idea ekstremis di negara ini sebagai asas pentadbiran pada masa akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana Malaysia sebagai negara masyarakat majmuk perlu bebas daripada unsur radikal dan ekstrem.

“Saya telah ketengah idea Malaysia sebagai komponen Asia Tenggara yang mampu jadi contoh model kehidupan.

“Walaupun terdiri pelbagai agama dan bangsa, kita boleh hidup dalam suasana aman dan damai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan pada Seminar Saintifik Ekstermis Takfiri dan Kewujudan Perpecahan Dalam Dunia Islam di Universiti Malaya di sini hari ini.

Seminar tersebut anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Asia West East Centre (Asia We).

Sementara itu, dalam ucapannya, Mujahid menyelar segelintir agamawan di negara ini yang gemar menggelar orang bukan Islam sebagai kafir harbi dan kafir zimmi sekaligus mencetuskan fahaman radikal.

Beliau berkata, tindakan itu bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak semua agama dan kaum.

“Istilah-istilah tersebut hanya sesuai digunapakai apabila sesebuah negara itu mengamalkan pelaksanaan Islam sepenuhnya.

“Segelintir umat Islam di negara ini berdepan  masalah dengan kehidupan masyarakat yang pelbagai agama apabila sering berfikir tentang kafir harbi dan kafir zimmi.

“Sedangkan ketika ini tiada konsep istilah tersebut dan yang ada hanyalah konsep setiap warganegara mesti dilindungi haknya,” katanya. – MalaysiaGazette