Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Kerajaan menangkis tuduhan melulu pembangkang kononnya penubuhan Tabung Harapan bertujuan untuk meraih simpati atau populis selain daripada mempergunakan rakyat untuk membayar hutang negara.

Sebaliknya, menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, inisiatif awal Tabung Harapan itu sebenarnya bermula daripada usaha rakyat yang mahu membantu kerajaan baru menanggung hutang kerajaan lama.

Jelas Ahli Parlimen Kubang Pasu itu, rakyat sendiri atas dasar semangat patriotik sanggup menyumbang sehingga mencecah lebih RM161 juta setakat semalam.

“Seorang rakyat biasa hadir ke Jabatan Perdana Menteri dengan dua keping wang bernilai RM50 pada bulan lepas untuk membantu kerajaan membayar hutang negara kerana kerajaan terdahulu.

“Idea untuk meyumbang sehingga penubuhan Tabung Harapan sebenarnya datangnya dari rakyat sendiri. Kami kemudian mengikut peruntukan undang-undang menubuhkan tabung itu pada 30 Mei lepas.

“Walaupun sumbangan-sumbangan yang diberikan ini tidak mampu membayar kembali hutang yang pernah diwariskan oleh kerajaan lepas terutamanya melalui skandal 1MDB, tetapi sumbangan ini bertujuan sebagai penyelamat ekonomi negara,” katanya.

Beliau menjawab pertuduhan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab Ahmad Maslan yang menyoal sama ada relevan memansuhkan cukai bara­ngan dan perkhidmatan (GST) kepada sifar peratus sehingga negara kehilangan RM11 bilion dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Kata Ahmad Maslan, GST dimansuhkan kerana kerajan PH mahu popular dalam kalangan rakyat.

“Atas tujuan popular, kerajaan sanggup rugi RM11 bilion dengan mansuhkan GST sifar peratus tetapi bercakap tentang bebanan hutang yang ditanggung oleh negara. Ini populis,” tegasnya.

Jelas Amiruddin, GST dimansuhkan kerana bebanan berat yang ditanggung oleh rakyat manakala SST tidak akan membebankan seperti yang didakwa.

“Walaupun kerajaan mampu mendapat pendapatan RM44 bilion melalui kutipan cukai GST namun kita mansuh seperti yang dijanjikan kerana ia benar-benar membebankan rakyat. SST tidak akan beri bebanan besar seumpama itu,” ujar beliau. – Malaysia Gazette