Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2018.
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang ditubuhkan 25 tahun lalu bukan untuk kepentingan individu tetapi bagi kelangsungan ekonomi negara.

Najib menegaskan, sayap pelaburan itu diwujudkan bagi memberi kekayaan kepada negara melalui pengagihan dividen kepada kerajaan.

“Institusi ini berbeza, bukan seperti Teraju, PUNB yang diwujudkan untuk menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam perniagaan.

“Sebaliknya, Khazanah ditubuhkan untuk kekayaan negara, beri dividen kepada kerajaan. Pada masa sama wujudkan syarikat-syarikat baharu, teroka pasaran antarabangsa, pengukuhan bakat dalam negara,” kata Najib ketika diminta mengulas peletakan jawatan sembilan pengarah Khazanah.

Ditanya sama ada beliau tahu tentang peletakan jawatan, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak tahu kerana sudah tidak berada dalam entiti berkenaan.

Jelas beliau, Khazanah adalah seperti sayap pelaburan Singapura, Temasek yang memberi keutamaan kepada bakat-bakat terbaik dalam negara.

“Jika mereka tidak diberi peluang ini, mereka akan keluar untuk mendapat ganjaran lebih tinggi.

“Sekali kita kehilangan bakat-bakat ini, anda akan memiliki pengurusan yang kurang bermutu dan akhirnya merugikan Malaysia,” tambah yang mengakui bimbang dengan masa depan sektor korporat negara. – MalaysiaGazette