KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menasihati para pelabur supaya sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi maklumat peribadi dan pelaburan dengan pihak yang tidak dikenali.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin meminta para pelabur supaya tidak melayan sebarang panggilan yang bertanyakan mengenai butiran
pelaburan walaupun pemanggil mendakwa mereka adalah pegawai bank mahupun pegawai ASNB sendiri.

“Jika menerima sebarang panggilan yang mencurigakan, pelabur disarankan
agar jangan mudah panik dan tidak membuat sebarang transaksi membabitkan pengeluaran ASB atau unit amanah ASNB yang lain.

“Untuk mendapatkan kepastian, pelabur boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Ejen dan Perhubungan Pelanggan ASNB di talian 03-20573000 atau terus berhubung dengan pihak polis untuk membuat semakan atau aduan,” katanya.

ASNB adalah anak syarikat unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tambah beliau, sebagai pengurus unit amanah yang mengurus lebih 229 bilion unit dalam
edaran milik lebih 13.4 juta pemegang akaun, ASNB sentiasa komited melindungi wang pelabur dengan menggunakan sistem keselamatan terbaik.

Namun, pelabur diminta untuk peka dan mengambil tahu tentang kewujudan sindiket seperti ‘Macau Scam’ kerana ASNB tidak boleh membantu menggantikan wang pelaburan mereka sekiranya wang berkenaan dikeluarkan oleh pelabur sendiri setelah dipengaruhi sindiket tersebut.

Menurutnya, baru-baru ini warga kerja salah sebuah ejen ASNB yang telah berjaya membantu seorang pelabur ASB daripada diperdaya oleh sindiket Macau Scam.

Dalam kejadian itu, pelabur tersebut telah menerima panggilan daripada seorang
pemanggil yang menyamar sebagai pegawai bank dan mendakwa beliau terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram serta mengarahkan beliau memindahkan wang berjumlah RM120,000 untuk mengelakkan tindakan undang-undang.

Pelabur yang panik telah pergi ke cawangan ejen ASNB berdekatan untuk mengeluarkan semua wang pelaburan Amanah Saham Bumiputera untuk dipindahkan ke akaun baharu sepertimana diarahkan pemanggil.

Bagaimanapun, pelabur berkenaan bernasib baik kerana keresahan beliau disedari oleh warga kerja ejen ASNB yang mengambil inisiatif untuk bertanya lebih lanjut dan kemudiannya melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis.

Antara modus operandi Macau Scam yang telah dikenal pasti ialah pemanggil yang
mendakwa dirinya pegawai bank memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam jenayah
penggubahan wang haram dan dadah sebagai strategi memperdayakan mangsa. – MalaysiaGazette