Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sambil diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kiri), Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (dua kanan) dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini memutuskan untuk menubuhkan sebuah Jemaah Penasihat bagi memantau perjalanan dan hala tuju parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan dipengerusikan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

“UMNO juga tubuh sembilan majlis yang meliputi beberapa tanggungjawab bagi memperkasakan parti sebagai pertubuhan politik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO petang tadi.

Ahmad Zahid yang juga Ketua Pembangkang memberitahu, jemaah tersebut akan menumpukan isu utama untuk ditangani oleh pemimpin kanan UMNO.

Mengulas lanjut , beliau berkata, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li akan memperincikan tugas dan skop kerja jemaah itu tidak lama lagi.

Dalam mesyuarat sama, Ahmad Zahid berkata, MT UMNO turut menubuhkan lapan jawatankuasa peringkat nasional untuk menentukan kesempurnaan perjalanan pentadbiran parti bagi ganti biro-biro parti terdahulu.

Disamping itu, katanya,  UMNO juga menubuhkan sebanyak 10 sekretariat merangkumi soal isu yang melibatkan beberapa perubahan dasar yang kita lihat harus ditangani oleh parti.

Dalam pada itu, MT UMNO juga turut memuktamadkan had umur bagi ahli parti akan diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun.

Jelasnya, perkara itu diputuskan bersesuaian dengan perubahan baharu yang dihadapi kepimpinan parti itu kini.

“Dulu 18 tahun sebab kita harus siap siaga dan kita merasakan bahawa umur belia adalah 15 tahun. Kita ambil setahun lebih lewat dari definasi umur belia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette