Liew Vui Keong
Liew Vui Keong

SANDAKAN -Kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang menyusahkan kebebasan rakyat untuk bersuara, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Menurut beliau, ia sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan yang memberikan rakyat kebebasan bersuara dalam Malaysia Baharu.

“Rakyat punyai hak untuk bersuara dan menegur kerajaan serta pemimpin tetapi tidak boleh membuat fitnah jika tiada bukti dan asas,” katanya pada Majlis Kesyukuran dan Perasmian Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Sapi di sini, hari ini.

Tanpa menyatakan akta tersebut, Liew yang juga Anggota Parlimen Batu Sapi berkata, pemimpin dan kerajaan di bawah PH bersikap terbuka menerima teguran rakyat tanpa menyentuh soal peribadi pemimpin.

Dua akta yang telah dinyatakan oleh kerajaan akan dimansuhkan adalah Akta Antiberita Tidak Benar dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Liew menafikan dakwaan perluasan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di negara ini akan dihentikan yang dinyatakan oleh Anggota Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman.

Katanya, ini satu lagi dakwaan berunsur fitnah kerana beliau selaku menteri yang bertanggungjawab portfolio berkaitan undang-undang, belum membuat perbahasan di Parlimen.

Liew diminta mengulas dakwaan Azalina itu ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen pada Khamis lepas.- Bernama