Kerajaan berpegang kepada janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 dan komited untuk merealisasikannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bercadang untuk menimbangkan pandangan kontroversi mengkaji serta menulis semula kandungan buku teks sejarah, selain memuatkan fakta berkaitan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) yang turut terlibat dalam tuntutan kemerdekaan.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan itu hanya dilontarkan oleh pihak lain dan langsung tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan kerajaan.

Jelas beliau, cadangan untuk memasukkan elemen perjuangan komunis dalam buku teks masih belum dikaji lagi.

“Kita belum kaji lagi, idea untuk menukar dan menulis buku teks sejarah dengan masukan fakta berkaitan komunis adalah pandangan orang lain yang tidak berkaitan dengan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lobi Parlimen ketika diminta mengulas cadangan aktivis, Fahmi Reza dan peguam, Fadiah Nadwa Fikri yang berpendapat adalah wajar buku teks sejarah ditulis semula dengan memasukan beberapa fakta tentang golongan berhaluan kiri itu.

Bagaimanapun Mahathir yang juga merupakan Ahli Parlimen Langkawi menjelaskan, seandainya cadangan itu diterima pakai dan dilaksanakan, ia bukan bertujuan untuk mempromosi fahaman komunis, sebaliknya hanya untuk menceritakan kembali sejarah idealogi Parti Komunis Malaya (PKM).

“Bukan dilaksanakan sekalipun cadangan itu pada masa hadapan, elemen komunis itu dimasukan dalam fakta kerana kita perlu faham tentang fahaman mereka dan bukan sebaliknya.

“Kita bukan berniat untuk mempromosi fahaman komunis, tetapi kena tahu apa itu komunis, apa itu kapitalis, demokrasi dan kleptokrasi. Kita kena faham semua itu,” tegasnya.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas wacana ‘Should We Rewrite Our History Book?’ (Perlukah Kita Menulis Buku Sejarah) yang mana para panelis berpendapat kandungan buku teks sejarah di negara telah dijadikan propaganda kerajaan terdahulu dan perlu dikaji semula.

Malah, forum tiga hari bertajuk ‘A People’s History of Malayan Emergency’ itu turut memberi gambaran perjuangan kemerdekaan oleh haluan kiri seperti PKM perlu mendapat pengiktirafan.

Wacana itu bertukar tegang apabila apabila ada antara hadirin yang berang malah menuntut jawapan tepat bagaimanapun wacana ini mahu memasukkan fakta-fakta berkaitan perjuangan pendukung fahaman komunis ketika era sebelum merdeka di dalam buku-buku teks sejarah. – MalaysiaGazette