Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2018
Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia untuk menggerakkan aset dan pasukan ke Lombok, Indonesia.

Ujarnya, program operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi itu akan direncanakan setelah satu pertemuan dengan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

“Saya akan bincang dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia segera hal ini seperti yang kita hantar (aset) ke Laos.

“AzAs kita bersedia tetapi akan bincang terlebih dahulu dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pertemuan itu katanya akan diadakan hari ini.

Jelas Mohamad, buat masa ini, pihaknya masih belum menerima permintaan itu daripada pihak Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Pada Ahad lalu, gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter yang melanda Pulau Lombok telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida.

Seramai 162 orang turut tercedera dalam kejadian yang memusnahkan ribuan rumah penduduk setempat.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan untuk mengubah kandungan buku teks sejarah, Mohamad Sabu berkata, rakyat harus pandai untuk membezakan antara perjuangan rakyat dan perjuangan komunis.

Katanya lagi, perjuangan rakyat contohnya untuk mencapai kemerdekaan harus diberi keutamaan dan tidak melayan faktor lain dalam isu itu.

“Sesetengah orang kalau dulu sebelum merdeka, perjuangan rakyat pun dicop sebagai perjuangan komunis.

“Tetapi, kalau perjuangan rakyat contohnya oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaacob, Pak Sako dan sebagainya, merekalah perjuangan rakyat.

“Saya tidak rasa mereka ini anuti perjuangan komunis. Itu yang kita kena bezakan antara perjuangan rakyat dan perjuangan komunis,” katanya lagi. -MalaysiaGazette