Mujahid Yusof Rawa
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof (tengah) menyaksikan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin (kiri) dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr. P. Ramasamy (kanan) bersalaman pada pertemuan enam mata di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Perselisihan faham antara Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkenan isu Dr. Zakir Naik dan LTTE akhirnya selesai.

Penyelesaian itu selepas kedua-dua mereka bersetuju menyerahkan dua isu utama yang dibangkitkan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.

Kata sepakat itu dicapai selepas mereka mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa di Jabatan Kemajuan Islam Maalysia (Jakim) di sini hari ini.

Pertemuan selama 40 minit bermula dari pukul 3 petang itu antara lain membincangkan perkara membabitkan LTTE (Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam serta isu pertikaian membabitkan pendakwah terkenal, Zakir.

Mujahid pada sidang medianya selepas itu berkata, rumusan telah dicapai dan kedua-dua mereka bersetuju dengan kata sepakat untuk tidak menimbulkan lagi isu-isu yang dibangkitkan kepada umum.

Katanya, tidak ada apa-apa lagi perkara yang tersembunyi dan perbincangan ringkas itu berakhir dengan elok dan mesra.

“Tidak ada apa yang boleh dianggap sebagai terpaksa atau pertemuan yang tidak elok dan mereka sangat mesra.

“Mereka dapat mengenali antara satu sama lain sehinggakan  Ramasamy tidak tahu Mufti (Asri) adalah orang Pulau Pinang.” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid turut mengingatkan rakyat negara ini tidak kira agama, keturunan dan kaum agar sentiasa bersabar serta membawa sesutau perkara ke meja rundingan lebih-lebih sekiranya ia membabitkan perkara sensitif seperti agama.

Katanya, dalam hal tersebut menjaga keharmonian dengan tidak menimbulkan ketegangan adalah lebih penting daripada membuat keputusan sendiri yang boleh menjejaskan ukhuwah masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Ramasamy ketika bercakap pada sidang media itu menjelaskan, pertemuan yang diatur oleh Mujahid itu merupakan sesuatu yang sangat berkesan dalam mencari keharmonian dalam masyarakat.

Katanya, beliau merupakan seorang individu yang amat suka kepada perbincangan.

“Beliau (Mujahid) telah mengambil peranan yang sangat luar biasa, tidak disangka. Ini merupakan Jabatan Agama Islam, pertama kali dalam sejarah Malaysia menteri sanggup menerima kunjungan supaya perkara ini dibendung dan diselesaikan,” ujarnya.

Asri pula memberitahu, beliau amat berharap agar kerajaan selepas ini menyediakan satu platform dan saluran untuk berbincang sekiranya ada perkara-perkara yang melibatkan agama dan perkara-perkara tertentu.

“Negara ini baharu sahaja dibentuk, Malaysia baharu. Kita harap perkara-perkara yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama tidak berbangkit kerana itu akan melarikan fokus kita untuk membina negara yang kita sayangi ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette