Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

PUTRAJAYA – Program MyBrain terpaksa dibekukan sementara waktu kerana Kementerian Pendidikan tidak mendapat peruntukan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menyalurkan peruntukan RM90 juta kepada Kementerian Pendidikan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018.

“Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM90 juta tetapi ia tidak sampai lagi kepada kementerian. Ia janji politik daripada kerajaan sebelum ini.

“RM90 juta itu pun sebenarnya cukup untuk menampung pengajian 10,000 orang penerima sahaja sedangkan keseluruhan kos yang perlu ditanggung ialah RM612 juta,” katanya selepas melancarkan Laporan Tahunan 2017, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) di Kementerian Pendidikan hari ini.

Tambah beliau, peruntukan tersebut terlalu besar dan ia perlu kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan.

Lantaran itu, program MyBrain perlu ditangguhkan kerana kelulusan kewangan bukan datang daripada pihak Kementerian Pendidikan.

“Kalau di pihak kementerian, kami mahu semua orang dapat peluang belajar tapi pemberian wang itu bergantung kepada Kementerian Kewangan,” ujar beliau.

Isu peruntukan MyBrain mula mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memaklumkan penangguhan bantuan tersebut menerusi program “Bicara Khas Bersama Menteri” terbitan RTM pada 25 Julai lalu.

Kata Maszlee, MyBrain ditangguh kerana kerajaan sebelum ini mewariskan hutang yang begitu banyak.

Keputusan penangguhan pemberian MyBrain menimbulkan persoalan kerana pada masa sama Maszlee bersetuju untuk menyalurkan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina. – MalaysiaGazette