Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media mengenai pasca Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 JULAI 2018
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media mengenai pasca Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan didakwa telah kehilangan dana RM30 bilion sejak mentadbir negara ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kehilangan dana itu tidak disedari rakyat apabila kerajaan memberi fokus kepada kutipan Tabung Harapan yang telah mencecah RM160 juta.

Beliau berkata, rakyat kini perlu mempersoalkan bagaimana kerajaan akan dapat menguruskan ekonomi sehingga akhir tahun ini.

“Hari ini sahaja sejak pemansuhan GST, kerajaan sudah hilang RM14 bilion. Kutip Tabung Harapan RM160 juta tapi tindakan kerajaan telah menyebabkan kehilangan dana milik rakyat sebanyak RM14 bilion.

“Campur tangan politik dalam Khazanah Nasional sahaja, sehari kerajaan hilang RM2 bilion.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab daripada Menteri Kewangan yang sebut angka bersifat politik, RM11 bilion dana dalam pasaran saham hilang.

“Sehingga hari ini, kerajaan PH telah menyebabkan kehilangan dana dalam pelbagai bentuk hampir RM30 bilion. Rakyat tidak sedar sebab tidak diberitahu dan ini kehilangan sebenarnya kepada pendapatan negara atau kekayaan dalam pasaran saham,” katanya.

Beliau berkata demikian demikian pada sidang media di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada UMNO akan membantah pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan oleh kerajaan tidak lama lagi.

Annuar menambah, UMNO akan membantas pelaksanaan SST di Dewan Rakyat dan Dewan Negara jika ia memberi kesan lebih buruk daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Malah jelas beliau, parti itu sanggup membantah di jalanan kerana UMNO kini mahu berjuang demi rakyat.

“Jika kesan terbukti lebih parah kepada rakyat, UMNO tidak akan berdiam diri.

“Kita akan menentang di Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara kerana masih ada bilangan ahli Barisan Nasional yang ramai.

“Malah kita sanggup membantah di jalan raya jika kerajaan tidak dapat buktikan jalan penyelesaian SST kepada rakyat,” katanya.

Annuar turut menempelak kerajaan PH yang membuat keputusan undur ke belakang apabila memperkenalkan semula SST.

Katanya, Malaysia menjadi satu-satunya negara di dunia yang kembali ke SST daripada GST dengan menyertai negara-negara mundur seperti Surinam, negara Afrika, negara kepulauan Carribean.

“Sebanyak 20 negara sahaja masih guna dan Malaysia negara pertama di dunia kembali kepada SST.

“Elok-elok sertai negara maju namun kerana hendak popular dan undi rakyat, kerajaan PH buat keputusan silap dan lepas itu kutip wang rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette