SHAH ALAM – Dakwaan seorang bekas pemimpin UMNO Selangor kononnya pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri itu ditolak oleh semua Ketua UMNO Bahagian adalah tuduhan tidak berasas.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menyifatkan tuduhan itu sebagai permainan politik persepsi yang cuba mengganggu gugat pentadbiran UMNO Selangor.
“Mengenai kenyataan salah seorang otai di Selangor mengatakan semua Ketua UMNO Bahagian Selangor menolak Ismail Sabri sebagai Pengerusi Perhubungan adalah tuduhan tidak berasas dan permainan politik persepsi yang cuba menganggu gugat pentadbiran UMNO Selangor.
“Mesyuarat Perhubungan UMNO Selangor telah pun diadakan dan semua Ketua UMNO Bahagian sebulat suara menyokong kepimpinannya sebagai Pengerusi Perhubungan, malah kehadiran 22 Ketua Bahagian adalah penuh korum,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Armand Azha, kenyataan dan laporan itu jelas untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden UMNO.
“Saya nampak ini adalah gerakan tangan ajaib pihak lawan iaitu pembunuh watak terhadap Naib Presiden nombor satu UMNO.
“Ismail Sabri mengambil pendekatan “hands on” bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis. Beliau juga turun ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) bertemu akar umbi jentera dan pengundi di DUN Sungai Kandis sejak awal hingga kini,” ujarnya.
Kata beliau, UMNO negeri memerlukan nafas baru daripada strategi dan gerak kerja bagi memastikan parti terus kekal relevan di bumi Selangor.
“Saya selaku Ketua UMNO Bahagian Subang ingin menasihati individu tersebut agar memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang dilihat tidak matang dan boleh mengganggu kestabilan politik UMNO di Selangor..
“UMNO Bahagian Subang menyokong penuh keputusan Presiden UMNO dan pelantikan Ismail Sabri sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO,” katanya sambil enggan menamakan pemimpin yang membuat tuduhan itu. – MalaysiaGazette
















