SHAH ALAM – Berpegang kepada kenyataan pemimpin Pas yang berpendirian menentang Pakatan Harapan (PH) UMNO yakin calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dapat menambah majoriti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain berpegang kepada kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, beliau juga mendapat klu yang sama dari pimpinan tertinggi parti itu.
“Kita dapat undi Pas, kita dapat undi kaum India..kita akan beroleh majoriti yang bertambah daripada jumlah yang kita perolehi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
“Pas menolak PH bukan kerana parti itu hendak bergabung dengan UMNO tetapi jelas sekali Pas mendakwa PH mengetepikan Islam dan masyarakat Melayu,” katanya pada program ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jalan Kebun, dekat sini, malam tadi.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Lokman.
Sementara itu, difahamkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga ada di Sungai Kandis dalam program berasingan.
Ahmad Zahid yang kali pertama turun ke Sungai Kandis memberitahu, dalam pertemuannya dengan penduduk di DUN berkenaan, ramai daripada mereka meluahkan rasa kecewa dengan kepimpinan kerajaan PH.
“Sebelum ini lagi saya menerima laporan dari jentera BN yang bergerak dari rumah ke rumah mengatakan keadaan itu kepada saya.
“Dan memang patut mereka kecewa, hari ini sudah lebih 80 hari memerintah, 10 janji yang dikemukakan tidak dikota, sedangkan rakyat mengharapkan ia dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau bagaimanapun, berpuas hati dengan gerak kerja jentera dan sambutan masyarakat DUN Sungai Kandis kepada UMNO dan calon BN yang pada pandangannya positif. – MalaysiaGazette