KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam perlu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis bagi menambah kuasa pembangkang di Selangor.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki berkata, kemenangan Lokman dilihat satu keperluan bagi memastikan suara rakyat dapat didengar dan menjadi timbang tara kepada kerajaan Pakatan Harapan yang menguasai negeri itu.
“Kita tidak mahu kerajaan negeri bertambah kuat kerana ini tidak baik untuk suasana demokrasi dan tidak baik untuk memastikan suara rakyat didengar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO sebentar tadi.
Sementara itu, Ashraf berkata, Pemuda UMNO menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi memantau harga barang susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan pada bulan hadapan.
“Pemuda UMNO bersetuju wujudkan satu jawatankuasa bertindak memantau harga barangan selepas pelaksanaa SST yang bakal dilaksanakan dan kami akan menggerakkan seluruh cawangan-cawangan kami yang berjumlah lebih 20,000 memastikan pelaksanaan SST yang menggantikan GST tidak akan membebankan rakyat,” tambah beliau
Jawatankuasa itu, menurut Ashraf, akan diterajui Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah. -MalaysiaGazette