BUKIT KEMUNING – Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjangkakan jumlah pengundi yang keluar pada Sabtu ini akan menurun berbanding pilihan raya umum yang lepas.
Selain yakin faktor pengundi luar, Zawawi juga mendakwa ia berpunca daripada pengaruh parti-parti politik.
Namun Zawawi tidak menjelaskan secara spesifik parti yang dikatakannya itu.
“Peratusan keluar mengundi mungkin rendah sedikit kerana mungkin pengundi tinggal di luar kawasan, ada juga patuh arahan parti masing-masing.
“Tapi saya yakin pengundi akan keluar lebih 75 peratus,” katanya kepada pemberita.
Namun jangkaan majoriti yang bakal diperolehnya pada Sabtu akan menjadikan DUN Sungai Kandis kekal milik PKR.
“Majoriti saya sasarkan 10,000 kalau ikut perkiraanlah, insya Allah boleh capai,” katanya lagi.
Terdahulu Pas dilaporkan mengarahkan agar ahlinya di Sungai Kandis mengundi calon Melayu Islam selain Pakatan Harapan.
PRK DUN Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Shuhaimi Shafiei.
Pilihan Raya Kecik yang berlangsung esok menyaksikan pertembunvan tiga penjuru membabitkan Datuk Lokman Noor Adam yang mewakili BN, Mohd Zawawi dari PKR dan calon Bebas, K Murthy.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah, 76 undi. -MalaysiaGazette