spr
spr

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia daripada Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim, pagi ini.

Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood berkata, kekosongan itu adalah berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, petang semalam.

“SPR akan mengadakan mesyuarat mengenai kekosongan tersebut minggu depan bagi menentukan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu,” katanya ketika ditemui selepas memantau proses penyemakan isi dan penyerahan peti undi kepada petugas PRK DUN Sungai Kandis untuk pelaksanaan hari pengundian esok.

Ditanya mengenai kemungkinan PRK DUN Seri Setia dijalankan serentak dengan PRK DUN Balakong, beliau berkata, ia bergantung kepada hasil mesyuarat berikutan banyak aspek serta keperluan perlu diambil kira antaranya kemudahan lokasi, petugas dan logistik.

Semalam, Shaharuddin, 55, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan negeri meninggal dunia pada 6.28 petang di Hospital Putrajaya.

Pada Isnin lepas, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Balakong pada 8 Sept depan dengan hari penamaan calon pada 18 Ogos sementara hari mengundi awal ialah 4 Sept.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ng Tien Chee akibat kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras pada 20 Julai lepas.

Sementara itu mengulas mengenai PRK DUN Sungai Kandis, Othman berkata SPR menambah satu lagi petak mengundi menjadikan keseluruhan tiga petak di kesemua 109 saluran mengundi yang dibuka mulai 8 pagi hingga 5.30 petang esok.

“Langkah ini adalah bagi mengurangkan kesesakan pengundi di kesemua saluran kerana tiga orang boleh mengundi pada satu-satu masa. Saya nasihatkan pengundi merancang perjalanan mereka dan jangan lupa bawa kad pengenalan serta semak terlebih dahulu saluran mengundi,” katanya.

Pada hari pengundian esok, calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni berdepan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas. — BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast