Timbalan Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan

KLANG – Barisan Nasional (BN) menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini adalah ‘good signal’ kepada parti itu.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana jumlah undi yang diterima parti itu dalam pilihan raya kecil kali ini tidak jauh berbeza dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya menjangkakan kita kalah teruk malam ini namun perolehan undi itu membuktikan kita mendapat 75 peratus daripada lebih 11,000 yang diperoleh semasa PRU-14 lalu.

“Keputusan itu lebih baik daripada PH (Pakatan Harapan) yang saya jangka mendapat 18,000 undi namun hanya memperoleh lebih 15,000 undi. Justeru, perkara ini kita perlu lihat, kaji dan teliti (kerana undi PH merosot),” katanya memetik laporan Bernama di Bilik Gerakan Utama parti itu di sini, malam tadi.

Turut hadir calon BN bagi PRK itu, Datuk Lokman Noor Adam.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata peratusan jumlah keluar mengundi rendah turut memperlihatkan sikap protes rakyat terhadap kerajaan PH berikutan kegagalan mereka menunaikan janji manifesto dalam PRU lalu.

“Mungkin kelebihan calon PH yang merupakan anak tempatan yang mana lebih dikenali penduduk setempat menyebabkan kemenangan berpihak kepada mereka,” katanya.

Katanya, berdasarkan keputusan PRK itu, jelas memperlihatkan pola pemikiran pengundi pada masa ini kini semakin sukar dijangka.

Lokman pula berkata, walaupun kemenangan tidak berpihak kepada BN, tetapi keputusan PRK itu adalah titik tolak kebangkitan rakyat.

“Jangan ada yang kecewa dengan kegagalan kita, kita cuma kalah sedikit sahaja. Keputusan ini turut menunjukkan parti ini masih relevan di mata rakyat… pembangkang masih diperlukan untuk membawa suara rakyat,” katanya.

Pertembungan tiga penjuru PRK Sungai Kandis menyaksikan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mendapat 15,427 undi menewaskan Lokman (9,585 undi) dan calon Bebas, K Murthy (97 undi). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast