Arul Kanda Kandasamy

KUALA LUMPUR – Arul Kanda Kandasmy telah dijanjikan untuk mendapat bayaran pampasan mengikut budi bicara selepas bersetuju melanjutkan kontrak perkhidmatannya selama enam bulan lagi apabila khidmat selama tiga tahun yang berakhir pada 31 Disember 2017 berakhir.

Peguam, Datuk N. Sivanathan berkata, pampasan itu telah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemegang saham syarikat tersebut.

Katanya, Arul Kanda telah ditawarkan kontrak bersama 1MDB bermula pada 5 Januari 2015 untuk tempoh tiga tahun dengan terma pelantikan mengikut rundingan dan perjanjian dua hala antara 1MDB dan bekas Presiden 1MDB itu.

Pada Mac 2016, rangka kerja bagi pelan pemulihan 1MDB itu berjaya dilaksanakan dan Arul Kanda telah menawarkan diri untuk melepaskan jawatan.

Sivanathan berkata, pada ketika itu Lembaga Pengarah 1MDB dan pemegang saham turut bersetuju dengan keputusannya.

“Bagaimanapun, disebabkan pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) pada April 2016, pelanggan saya telah diminta untuk kekal mengikut terma dan kontrak asal pengambilannya.

“Pada Disember 2017, pelanggan saya telah diminta mempertimbang untuk lanjutan setahun kontrak, yang mana pilihan disediakan bagi kontrak pengambilan asal.

“Selepas beberapa rundingan, pelanggan saya bersetuju untuk lanjutan enam bulan, terma perjanjian bersama telah dirunding dan perjanjian lanjutan pelantikan telah dilaksanakan dengan sewajarnya.

“Antara lain, terma-terma itu termasuk bayaran pampasan,” menurut peguam itu dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Sivanathan, sepanjang tempoh perkhidmatannnya, Arul Kanda telah berkhidmat sebagai Presiden 1MBD dan beliau terikat secara sah untuk melaksanakan keputusan, arahan dan arahan Lembaga Pengarah 1MDB dan pemegang sahamnya.

Sebelum ini, Lim Guan Eng mendedahkan Arul Kanda menerima pakej gaji berjumlah RM5 juta dari tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Bagaimanapun, Arul hanya dibayar setakat RM2.5 juta dan bakinya sepatutnya dijelaskan selepas 30 Jun 2018.

Sebelum menyertai 1MDB, Arul Kanda merupakan Ketua Pelaburan Perbankan di Abu Dhabi Commercial Bank.

Di sana, Arul Kanda terlibat dalam proses penstrukturan kewangan kompleks dan besar membabitkan syarikat-syarikat Asia Barat termasuk syarikat awam dan syarikat milik kerajaan. – MalaysiaGazette