KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menggunakan ‘kepala bapak kamu’ menyebabkan pertelingkahan dalam Dewan Rakyat.
Ia bermula ketika Rayer mahu menambah soalan lisan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berhubung jumlah pelaburan asing ditarik keluar sejak Mei 2018.
Bagaimanapun, tindakan Rayer yang bertanyakan soalan tentang skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga pelabur asing takut melabur menyebabkan dirinya ditegur oleh Datuk Hamzah Zainudin (BN-Larut) yang menyatakan soalan itu jauh menyimpang.
“Yang Berhormat Menteri sudah jawab RM11 juta sahaja keluar. Apalah Jelutong ini tiada kena mengena. Benar-benar ‘Jelotong’ la engkau ini,” kata Zainudin.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof kemudian meminta Rayer terus bertanyakan soalan beliau dengan ringkas dan padat.
Rayer yang kelihatan tidak berpuas hati dengan tindakan Zainudin menggunakan perkataan ‘kepala bapak’ selepas itu.
“Yang Berhormat Larut, sabar dulu. Nanti kalau saya guna ‘kepala bapak kamu’ susah kamu nanti,” tempelek Rayer sebelum Dewan menjadi gamat seketika.
Zainudin yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bangkit menggesa Rayer menarik balik perkataan ‘kepala bapak kamu’ mengikut ‘standing order’.
“Apa yang dia (Rayer) sebut tadi, penggunaan ‘kepala bapak dia’ itu betul-betul macam kepala bapak dia. Kalau betul perangai macam Jelotong macam dia ini, saya minta dia tarik balik,” tegasnya.
Mohamad Ariff kemudian meminta Rayer menarik kembali perkataan itu sekiranya Rayer tidak mahu dihalau keluar dari Dewan Rakyat kerana penggunaan perkataan tidak bersopan.
“Timbalan Speaker sebelum ini sudah memberi amaran tentang penggunaan perkataan seperti ‘kepala bapak’. Saya minta tarik balik. Tarik balik lah,” katanya.
Ketika suasana gamat itu, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pula menggunakan perkataan kesat bermula dengan huruf ‘P’ itu sehingga menyebabkan Mohamad Ariff hilang sabar dan memintanya menarik balik.
“Yang itu saya dengar. Itu paling-paling tidak sopan. Tidak sopan atau saya suruh keluar. Jangan guna perkataan kesat seumpama itu dalam Dewan yang mulia ini. Siapa yang sebut itu. Lipis, tarik balik perkataan yang lebih dasyat daripada kepala bapak. Tarik balik sebelum saya arahkan keluar Dewan.
“Semua sila duduk, jangan buang masa. Jangan guna perkataan tidak bersopan ketika berbahas. Semua ini menghabiskan masa. Saya tidak mahu gunakan ‘kuasa’ Speaker sebenarnya. Tolong terus tanya soalan,” katanya untuk menamatkan pertelingkahan itu.
Abdul Rahman dan Rayer kemudian masing-masing menarik balik perkataan tidak sopan yang diutarakan oleh mereka. – Malaysia Gazette