Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018
Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR –  Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak akan diiktiraf secara terburu-buru, sebaliknya mungkin mengambil masa sehingga lima tahun akan datang selepas melalui proses kajian secara menyeluruh.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pengiktirafan UEC sebenarnya bukan sebahagian daripada janji manifesto 100 hari yang memerlukan pelaksanaan dalam masa terdekat.

Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen (Simpang Renggam – PH) itu, sebarang keputusan untuk mengiktiraf UEC memerlukan satu kajian holistik dengan mendapatkan pandangan secara menyeluruh daripada semua pihak yang berkepentingan terutamanya dengan mengambil kira kepentingan Bahasa Melayu.

“Mengiktiraf UEC perlu melalui proses tertentu dan memakan masa. Sebarang keputusan mengenai UEC hanya akan dibuat selepas kajian menyeluruh dibuat kerana ia melibatkan sektor pendidikan.

“KPM akan menjalankan kajian menyeluruh dari pelbagai pihak secara konsensus dengan mengambil kira kepentingan Bahasa Melayu dan keharmonian antara kaum , isu UEC tidak sepatutnya menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu serta kepentingannya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas soalan lisan Alice Kiong Yieng (Lanas-PH) tentang bilakah pengiktirafan UEC akan dapat direalisasikan ketika sesi Dewan Rakyat.

Janji untuk mengiktiraf sijil lepasan sekolah menengah Cina persendirian itu sebenarnya termasuk dalam fasa kedua manifesto yang merangkumi 60 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun.

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, sejak 1975 dengan sukatan pelajaran dibangunkan Dong Zong, apabila sekolah Cina tidak mahu menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. – Malaysia Gazette