KUALA LUMPUR – Tindakan Rafizi Ramli untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya akan memburukkan konflik dalaman PKR.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, persaingan di antara Rafizi yang juga Naib Presiden PKR dan Azmin bakal menimbulkan percanggahan pendapat sebahagian ahli parti dan pada akhirnya memberikan kesan negatif kepada PKR.

“Sebarang pertandingan melawannya sebenarnya adalah tindakan untuk merosakkan parti daripada dalam,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Md. Shukri berkata, Azmin memberikan contoh yang baik berdasarkan prestasinya sebagai bekas Menteri Besar Selangor yang berjaya mempertahankan negeri itu pada pilihan raya yang lalu selain berjaya menjadi sebahagian daripada jemaah menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Azmin adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sepatutnya diberi peluang untuk terus mempertahankan jawatannya dalam parti sebagai Timbalan Presiden kerana track recordnya yang kukuh bukan sahaja dalam parti malah sebagai Menteri Besar Selangor sebelum ini.

“Selepas mempertahankan negeri itu pada pilihan raya yang lalu, Azmin juga terus memberikan persepsi yang baik kepada parti apabila dipilih menjadi jemaah menteri,”jelasnya.

Dalam masa yang sama Rafizi disifatkan masih belum layak untuk memegang jawatan itu. – MalaysiaGazette